AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAMAH MAKCIK YAM

3.7.11 10:00 AM , , | Posted by piewahid
Da, Allahyarmah Makcik Yam & Ummie




Assalamualaikum wrh wbk.
Moga para sahabat sihat dan sentiasa dalam redha & rahmat-Nya. Alhamdulillah saya sihat dan semuanya seperti biasa cuma sedikit kesibukan. Rindu dan doa sentiasa di ingatan tetapi kemampuan saya terhad untuk selalu berkongsi cerita di sini.

Masih ingat atau kenal Makcik Yam? Beliau adalah seorang pesara guru dan suaminya, Pakcik Mat adalah seorang pesara pensyarah Maktab. Rakan-rakan lama pengunjung blog saya ini pasti mengenali dan mengingati beliau. Dalam entry terakhir saya sebelum ini ada saya ceritakan bahawa Makcik Yam sedang uzur dan mendapatkan rawatan di Hospital USM Kubang Kerian.

Melalui entry
alhamdulillah...impian jadi nyata, saya pernah kongsikan pertemuan pertama dan terakhir kami sekeluarga bersama Makcik Yam. Keindahan dan kemesraan pertemuan tersebut segar dan kekal diingatan. Budi baik Makcik Yam dan Pakcik Mat sentiasa kami ingati dan dalam pertemuan sesingkat itu mampu meninggalkan kesan abadi di hati kami.

Dalam pertemuan tersebut Allahyarhamah sempat berkongsi penderitaan berdepan dengan sejenis penyakit dan tidak lama kemudian Allahyarhamah terpaksa dirawat di hospital.

Walaupun terlalu kepingin, tetapi jarak yang jauh, kekangan masa dan kesihatan saya menghalang kami untuk menziarahi beliau. Kami hanya mampu sekali sekala berhubung melalui telefon bertanya khabar dan tidak menjangka jemputan Ilahi akan secepat ini.

Kesederhanan sikap dan kemuliaan budi pekerti menyebabkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Makcik Yam dan Pakcik Mat adalah antara mentor saya dalam beberapa perkara

Ironinya status terakhir entry blog Makcik Yam bertajuk
ALFATIHAH BUAT EMAK bertarikh 8 April 2011 seakan-akan memberi tanda jalinan silaturrahim secara maya akan berakhir.

Pagi ini kami menerima berita yang sungguh mengejutkan dan menyentuh hati. Pakcik Mat memaklumkan bahawa Makcik Yam telah kembali ke rahmatullah pukul 8:40 malam semalam di Hospital USM Kubang Kerian dan insya-Allah akan dikebumikan pada pukul 10:30 pagi ini (3 Julai 2011)

Takziah kami ucapkan kepada Pakcik Mat dan seluruh anggota keluarga Allahyarhamah. Bersabarlah kerana kematian itu pasti bagi setiap makhluk. Semoga Allahyarhamah ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Kita hanya
menunggu giliran masing-masing. Khusnul Khatimah adalah matlamat kita. ALFATIHAH, amen...