INDAHNYA SILATURRAHIM & MAKMUR GUEST HOUSE


Assalamualaikum wrh wbk.

Ermm… rindu benar rasanya pada kengkawan di sini. Saya doakan semoga semuanya sentiasa dalam rahmat dan redha Allah. Saya pula Alhamdulillah sihat-sihat sahaja.

Sebenarnya saya ada draf satu entry bertajuk ‘Israeliyyat’ bulan lepas tetapi sentiasa gagal disempurnakan akibat ilham yang tersangkut-sangkut. Insya-Allah saya akan cuba publish juga nanti untuk perkongsian bersama.

Untuk makluman kengkawan, salah seorang rakan blogger kita iaitu
makcik yam sekarang sedang mendapatkan rawatan di Hospital USM Kubang Kerian kerana sakit tertentu.

Setakat minggu lepas semasa kami menghubungi pakcik mat (suami beliau), makcik yam masih di hospital. Sama-samalah kita doakan kengkawan kita yang diuji dengan masalah kesihatan beroleh syifa’ dan dianugerahkan ketabahan.

Kali ni saya nak kongsi perkembangan terkini kami sekeluarga. Alhamdulillah berkat cadangan dan sokongan pakcik mat, kami telahpun berjaya mengusahakan Rumah Tamu Makmur (Makmur Guest House) di Temerloh, Pahang.

Rumah Tamu tersebut asalnya pejabat SOHO Consultation kami. Selepas Ummie further study, ianya terbiar kosong. Nak disewakan terasa sayang. Nak dimajukan sebagai guest house tak berapa cukup modal. Alhamdulillah setelah hampir setengah tahun bersabar, ianya berjaya kami laksanakan.

SOHO Consultation pula kami tangguhkan operasinya sementara waktu akibat kekangan tertentu yang saya hadapi. Sesuai dengan nama dan konsepnya sebagai ‘SOHO’ (Small Office/Home Office) kami pindahkan segala peralatannya ke rumah dan akan digerakkan semula apabila keadaan mengizinkan.

Prinsip kami mudah sahaja. Kalau ada tetamu, adalah rezeki kami. Kalau tak ada, ianya masih berfungsi sebagai rumah tamu untuk ahli keluarga atau saudara mara yang berkunjung ke daerah kami.

Rumahnya bukan besarpun sekadar rumah teres 3 bilik tetapi lengkap berhawa dingin dengan segala kemudahan asas. Maklumat lanjut kengkawan boleh lawat
http://makmurguesthouse.blogspot.com/

Ianya sesuai untuk percutian sekeluarga atau rombongan urusan perkahwinan dan sebagainya. Kadar sewa pula sekadar rm160 sehari dan potongan istimewa sebanyak 20% kepada followers blog piewahid ulu kumbang. Untuk pengantin baru followers blog ini kami hadiahkan penginapan secara percuma untuk sehari semalam terkecuali untuk En. Yassin atau En. Syed jika mereka masih berangan menjadi pengantin baru. Hehehe...

Kalau ada urusan di Temerloh, silalah hubungi no. telefon atau emel yang disertakan di blog tersebut. Memang entry ni dikira promosilah tetapi bukanlah keutamaan saya. Yang penting ialah perkongsian berita dan mengekalkan jalinan silaturrahim fi sabilillah.

Akhir kata, (kenapa entry saya sekarang berbunyi seperti surat kiriman?) terima kasih atas segala doa yang dikirimkan kepada saya. Hanya Allah mampu membalas segala kebaikan kengkawan.

Sebagai tatapan dan dokumentasi, saya upload beberapa keping gambar guest house tersebut. Insya-Allah kita akan berjumpa lagi.


























Piewahid: Alangkah indahnya hidup jika segala-galanya disandarkan untuk mencari keredhaan Allah.